Monday 5 December 2011

Komunikasi yang berkesan untuk Matematik

Persoalan yang selalu timbul dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik ialah: 'Bagaimanakah hendak menghasilkan perancangan pengajaran matematik yang berkesan?'
Soalan ini bukan satu soalan yang boleh dijawab dengan mudah. Dalam era konstruktivisme ini, sebagai seorang guru matematik, kita harus tahu bagaimana pelajar-pelajar memperolehi atau membina dan memperkembangkan pengetahuan matematik dengan cara-cara yang boleh menggalakkan proses membina pengetahuan matematik di dalam minda pelajar.
Konstruktivisme merupakan satu pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran. Dalam pendekatan ini murid dianggap telah mempunyai idea yang tersendiri tentang sesuatu konsep yang belum dipelajari. Idea tersebut mungkin benar atau tidak.

Konstruktivisme melibatkan lima fasa, iaitu:

  1. Guru meneroka pengetahuan sedia ada murid pada permulaan sesuatu pelajaran melalui soal jawab atau ujian.
  2. Guru menguji idea atau pendirian murid melalui aktiviti yang mencabar idea atau pendiriannya.
  3. Guru membimbing murid menstruktur semula idea.
  4. Guru memberi peluang kepada murid mengaplikasikan idea baru yang telah diperoleh untuk menguji kesahihannya.
  5. Guru membimbing murid membuat refleksi dan perbandingan idea lama dengan idea yang baru diperoleh.
Pendapat yang dikemukakan oleh ahli-ahli konstruktivisme ialah seseorang individu membina pengetahuan dalam mindanya melalui proses-proses menghubungkaitkan maklumat baru dengan pengetahuan yang lama atau sedia ada.
Unsur-unsur konstruktivisme telah lama dipraktikkan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah, maktab dan universiti tetapi tidak begitu ketara dan tidak ditekankan.
Mengikut kefahaman konstruktivisme, ilmu pengetahuan sekolah tidak boleh dipindahkan daripada guru kepada guru dalam bentuk yang serba sempurna. Murid perlu membina sesuatu pengetahuan itu mengikut pengalaman masing-masing. Pembelajaran adalah hasil daripada usaha murid itu sendiri dan guru tidak boleh belajar untuk murid. Blok binaan asas bagi ilmu pengetahuan sekolah ialah satu skema iaitu aktiviti mental yang digunakan oleh murid sebagai bahan mentah bagi proses renungan dan pengabstrakan.
Pemikiran murid tidak akan menghadapi realiti yang wujud secara terasing dalam persekitaran. Realiti yang diketahui murid adalah realiti yang dia bina sendiri. Murid sebenarnya telah mempunyai satu set idea dan pengalaman yang membentuk struktur kognitif terhadap persekitaran mereka.

"Mengikut pendapat ahli konstruktivisme, pengetahuan konsep tidak dapat dipindah dari seorang kepada seorang yang lain, tetapi mesti dibina oleh setiap pelajar berasaskan sepenuhnya kepada pengalamannya."
"Satu konsep matematik boleh ditakrifkan sebagai corak asas yang menghubungkaitkan set-set objek atau tindakan-tindakan antara satu sama lain dan pengajaran konsep-konsep matematik merupakan satu usaha yang kompleks"
Pengajaran pengetahuan matematik selalu dihubungkaitkan dengan pengajaran konsep matematik. Mengikut Souviney (1989), satu konsep matematik boleh ditakrifkan sebagai corak asas yang menghubungkaitkan set-set objek atau tindakan-tindakan antara satu sama lain dan pengajaran konsep-konsep matematik merupakan satu usaha yang kompleks.
Beliau mengatakan setiap pelajar mempunyai set pengalaman dan kebolehan yang unik untuk menyelesaikan setiap tugasan pembelajaran. Dengan ini, guru matematik memainkan peranan yang penting dalam perancangan pengajaran yang berkesan untuk membantu pelajar membina dan mengembangkan pengetahuan matematik.
Berkomunikasi melalui interaksi sosial yang wujud di bilik darjah boleh membantu pelajar menguasai kemahiran membaca, menulis, mendengar, memikir secara kreatif dan berkomunikasi tentang masalah, yang mana akan memperkembang dan memperdalamkan pemahaman pelajar-pelajar tentang matematik. Dalam proses pembelajaran matematik yang boleh mewujudkan interaksi sosial, sering melibatkan proses rundingan. Proses rundingan akan membantu pelajar melihat bagaimana rakan sebayanya memahami sesuatu konsep, dan secara langsung skema dalam mindanya berubahsuai dan memperkembangkan pengetahuan sedia ada. Di samping itu, proses berunding boleh mempertajam dan memperdalamkan lagi pemikiran seseorang. Akhir sekali, jika kita menerima premis bahawa pengetahuan adalah dibina dan mempunyai hubungkait yang rapat dengan alam sekitar, salah satu fokus guru matematik ialah mewujudkan suasana yang menggalakkan komunikasi melalui interaksi sosial berciri matematik yang bertujuan dalam bilik darjah bagi proses pengajaran dan pembelajaran matematik.

No comments:

Post a Comment